D`ANGELS MUSIC & EDUCATION CENTRE MERAYAKAN ULANGTAHUN KEDUA SABTU INI
July 3, 2009 — George Duat (Views: 0)Oleh: Diana S. Tuning
D`Angels Music & Education Centre, satu-satunya sekolah muzik dalam daerah Penampang akan merayakan ulang tahun kedua pada 4th July 2009 di Donggongon Point Lot 15, Tingkat 1. D`Angels memulakan operasinya pada 01 Julai 2007 dengan menawarkan khidmat pendidikan formal dalam bidang muzik secara teori dan praktikal. Selain vokal dan teori muzik; piano, guitar, keyboard, drum, saxofon, violin dan trumpet adalah antara alat-alat muzik yang diajar. Selain itu, D`Angels juga menyediakan perkhidmatan tuisyen untuk calon-calon UPSR, PMR, SPM dan STPM.
D`Angels juga menghantar pelajar muzik yang cukup bersedia untuk menduduki peperiksaan. Setakat ini, D`Angels telah menghantar 6 pelajar muzik dan pada bulan Ogos ini seramai 9 orang pelajar lagi akan menduduki peperiksaan teori muzik. Pada bulan November 2009 dijangka 10 calon akan menduduki peperiksaan vokal, dua calon drum dan dua calon gitar di bawah Lembaga Peperiksaan Rockschool yang berpusat di UK/USA.
Menjelang tahun ketiga operasinya, D`Angels kini sedang dalam perancangan untuk menawarkan program sijil muzik dengan kerjasama UMS. Kepada pelajar-pelajar lepasan SPM yang sangat meminati muzik, pengurus D`Angels, Puan Diana Stephen Tuning yang juga merupakan graduan muzik dari UMS memaklumkan bahawa program sijil muzik ini kini sedang rancak dalam pengurusan untuk pelaksanaan sepenuhnya pada tahun hadapan.
Berbicara tentang hala tuju D`Angels dalam industri muzik tempatan, Diana yang juga merupakan seorang artis yang telah melahirkan album sulung "DIANA" memaklumkan antara aktiviti yang telah dijalankan ialah penganjuran Konsert 'The Beginning' pada bulan Mac lalu di Dewan KDCA, Penampang di mana D`Angels telah menampilkan artis-artis tempatan terkenal seperti Stacy, Felix Agus, Ivye Alexandra, Lotter dan The Divine Masters’ serta kumpulan Papier Maché dari Tamparuli. Perancangan seterusnya ialah menganjurkan Konsert Artis-Artis Sabah di Stadium Bukit Jalil pada tahun hadapan. Diana menegaskan bahawa hanya artis-artis yang berpengetahuan dalam bidang muzik dan mempunyai komitment dan disiplin yang tinggi akan dilibatkan dalam konsert itu nanti. Setakat ini artis yang telah dikenalpasti ialah S. Welly yang berasal dari Kota Belud, yang baru melancarkan album keduanya berjudul "Natalup". S. Welly adalah antara pelajar D`Angels yang akan menduduki peperiksaan vokal moden pada November tahun ini.
Bersempena dengan ulangtahunnya yang kedua, D`Angels menawarkan promosi istimewa kepada pelajar yang mendaftar di sepanjang bulan Julai 2009. Sebagai tanda syukur dan terima kasih, Diana ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah menyokong kewujudan D`Angels selama ini terutamanya para ibu bapa yang sensitif dengan kecenderungan anak-anak mereka dalam bidang muzik, para penyumbang hadiah-hadiah cabutan tiket bertuah, kakitangan D`angels yang telah bertungkus lumus membuat persediaan perayaan ulang tahun ke-2, para ibu bapa dan pelajar yang telah membuat persembahan pada hari tersebut, dan semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung. Orang ramai dipelawa memeriahkan lagi majlis ulang tahun tersebut yang bermula jam 9 pagi.
Teks oleh: Diana S. Tuning
Gambar: gogds.blogspot.com



Allday Event
(continuing) - 4th Jul
11th Jul




